Monday, July 13, 2009

IkHLas....

Posted by FiFFy at 12:52 AM
Janganlah dikira bahawa mewujudkan ikhlas itu suatu pekerjaan yang mudah, bahawa ikhlas itu boleh diperolehi setiap tangan yang menghendakinya, dan bahawa ikhlas itu boleh diperolehi dengan usaha yang sederhana tanpa harus bersusah payah. Ini jauh sekali daripada hakikat.

Namun yang pasti, mewujudkan ikhlas itu bukan pekerjaan yang mudah seperti anggapan sesetengah orang. Orang-orang arif yang meniti jalan Allah telah menegaskan sulitnya ikhlas dan beratnya mewujudkan ikhlas itu di dalam jiwa, kecuali orang memang dimudahkan Allah.

Ikhlas itu mencakupi dua hal, iaitu niat dan membebaskannya dari pelbagai noda. Niat kerana Allah dalam amal adalah sangat penting. Niat adalah tujuan dan kehendak (qasad dan iradah) hati. Seseorang yang mengerjakan amal, niatnya terpesong selain Allah umpama mesin automatik tidak ada yang boleh mewarnainya. Berhubung dengan ini, sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim menyebutkan, daripada Umar r.a. Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya perbuatan itu disertai niat, dan seseorang itu akan mendapat sesuai dengan apa yang diniatkannya…”

Yahya ibn Abu Kathir berkata, “Belajarlah niat (kerana Allah), kerana niat itu lebih penting daripada amal.”
Sufyan al-Thauri menyatakan, “Tidak ada yang lebih sukar dalam menguruskan diriku selain niat. Sebab niat itu boleh berubah menjadi dosa ke atasku.”

Zuabid al-Yami pula berkata, “Sesungguhnya aku benar-benar suka jika ada niat (kerana Allah) dalam segala sesuatu termasuklah ketika makan dan minum,” dia juga berkata, “Berniatlah (kerana Allah) dalam segala kebaikan yang engkau kehendaki, termasuklah ketika ingin menyapu.”

Sebahagian salafussoleh berkata, “Barangsiapa ingin menyempurnakan amalnya maka hendaklah memperbaiki niatnya. Kerana Allah ‘azzawajalla memberi pahala kepada seorang hamba jika baik niatnya, termasuklah satu suapan makanan.”
Membersihkan jiwa daripada hawa nafsu yang ‘nampak’ mahupun tersembunyi, menjaga niat dari berbaga-bagai noda, nafsu dan duniawi juga tidak mudah. Meredam egoisme, kecintaan kepada diri sendiri, cinta dunia dan keinginan untuk mendapatkan tujuan secara langsung, adalah pekerjaan yang amat besar.

Oleh itu, perlu ada usaha yang bersungguh-sungguh (‘iffah) dan selalu memerhatikan pintu-pintu bagi syaitan ke dalam jiwa. Sahal ibn al-Thauri pernah ditanya, “Apakah sesuatu yang paling berat bagi jiwa?” Maka jawabnya, “Ikhlas. Sebab ia tidak mendapatkan bahagian apa-apa (di dunia).” Yusuf ibn al-Husien ar-Razi berkata, “Sesuatu yang paling mulia di dunia adalah ikhlas. Berapa banyak ikhlas telah menggugurkan riak daripada hati. Seakan-akan ia (ikhlas) menumbuhkan warna lain di dalamnya.”

Boleh jadi kita melihat seorang yang melakukan amal dengan murni pada pandangan kita, bahkan dia juga beranggapan seperti itu. Tetapi jika kita mengetahui isi hatinya dan mengetahui relung-relungnya, maka kita mendapati dia seorang yang rakus terhadap dunia, hanya disaluti dengan pakaian agama. Dia beramal untuk dirinya sendiri agar dapat menipu manusia, seakan-akan beramal kerana Allah. Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak menerima hati yang dimasuki tujuan lain. Dia hanya menerima amal yang murni kerana mengharap keredaannya semata-mata. Semoga hati kita menjadi ‘hati’ Allah…

credits to :: Malcolmx@jiwang.org

0 comments:

Post a Comment

 

A WaLk To RememBer Copyright © 2009 Baby Shop is Designed by Ipietoon Sponsored by Emocutez